Kanser ialah sesuatu perkataan yang amat ‘berhantu’ dalam kamus kita. Ramai orang amat takut akan dihinggapi kanser. Apatah lagi mengikut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, seorang daripada 30 wanita didapati akan menghidap kanser payudara sekurang-kurangnya sekali seumur hidup! Maka macam-macam ubat dan supplement yang dimakan orang kita untuk mencegah. Tapi kan tak semua supplement ini berkesan. Lagi-lagi jika supplementnya tidak pun diuji secara saintifik dan hanya sekadar cakap orang.

Jadi apa cara yang lebih baik? Saintis telah mengkaji tentang kanser secara retrospektif selama beberapa dekad dan mendapati bahawa terdapat beberapa perkara yang jika dilakukan, akan mengurangkan kebarangkalian kena kanser dengan tinggi. Sempena Bulan Kesedaran kanser Payudara pada Oktober ini, mari kita kongsikan tipsnya mencegah kanser seperti di bawah. Tips nya ialah…

1. Sentiasa aktif bergerak.

Kajian menunjukkan bahawa mereka yang rajin bersenam atau selalu menjalankan aktiviti fizikal kurang mendapat kanser sepanjang hayatnya. Bukan itu saja mereka yang mengekalkan berat badan optimum, tidak terlalu gemuk atau kurus, juga mengurangkan risiko kanser. Oleh itu janganlah tinggalkan sesi zumba anda ya. Penat-penat bayar yuran tahunan gim tu.

2. Rajin-rajin makan makanan berantioksidan.

Bukanlah kami maksudkan makan supplement antioksidan tu. Belum tentu lagi ia menjadi kerana supplement telah diproses dan mungkin kesannya tidak cukup padu. Yang betulnya, ialah memakan sayuran dan buah-buahan segar selain bijirin mil penuh. Apakah bijirin mil penuh? Ha, tak semestinya roti wholemeal. Beras perang pun boleh juga. Ikut tekak Melayu anda lah.

Kelebihan antioksidan ialah ia membantu mengurangkan kerosakan sel oleh “radikal bebas”, yang biasanya menyebabkan kanser. Radikal bebas ni di mana-mana pun ada. Malah sinar matahari pun memberikan radikal bebas! Jadi rajin-rajinlah makan sayur anda ya. Jangan asyik order nasi tak nak sayur lagi….

3. Kurangkan makan daging merah atau daging proses.

Steak dan burger tu walaupun sedap, kenalah dielakkan. Daging merah ni selalu jadi idaman ramai. Kalau masuk gaji je ramailah beli steak ataupun nasi goreng daging. Belanja diri katanya. Tapi tahukah anda banyak kajian menunjukkan mereka yang makan daging merah dengan banyak lebih berisiko kanser? Jadi beralihlah kepada daging putih seperti ayam gril atau ikan filet. Lagi elok kalau ikan yangb ada DHA tu. sihat!

Oh ya daging proses wajiblah dielakkan dan korang pun tahu kenapa. Banyak preservative seperti nitrat dan juga garam perasa yang berbahaya. Sekadar lepas mengidam, mungkin lah boleh. tapi kalau hari-hari makan payah juga. Ingat-ingatlah sebelum beli corndog viral tu ya!

4. Kurangkan lemak trans dan tinggikan lemak tak tepu.

Lemak tak tepu tu apa ya? Ha ia ada banyak dalam minyak zaitun, avocado, dan banyak jenis kekacang. Pastikan dapatkan yang ‘fresh’ dan paling kurang terproses. Barulah dapat perlindungan maksimum. Trans fats pula adalah hasilan yang ada dalam minyak yang diproses dan biasanya ada dalam makanan bergoreng seperti donat, ayam goreng, nugget, dan lain-lain. Alahai, makanan sedap semuanya, macamana tu? Kalau teringin sangat makan makanan ni, cubalah gunakan air fryer ataupun bakar saja.

5. Kurangkan minum alkohol dan merokok.

Mujur, ramai yang kurang mengambil alkohol di masa sekarang. Namun kita harus juga menulis amaran ini kerana masih ada yang melakukannya biarpun bahaya. Meminum alkohol lebih segelas sehari akan meningkatkan risiko kanser bagi wanita. Alkohol ini bukan saja dapat merosakkan hati malah ia juga dapat menyebabkan sel kanser membiak dengan giatnya. Jadi elakkanlah. Lagipun bukankah ia amat dilarang dalam hampir kesemua agama utama dunia.

Merokok pula membahayakan kerana ia mempunyai banyak bahan karsinogen di dalamnya. Ia juga menghasilkan banyak radikal bebas, yang seperti disebutkan tadi, menyebabkan kerosakan sel dan kanser. Jika anda tidak merokok tetapi pasangan atau ahli keluarga merokok, ia juga akan tetap memberikan risiko tinggi kepada anda. Bantulah ahli keluarga anda menghentikan tabiat rokok ya.

Itu antara lima tips penting dalam penjagaan diri kita untuk mengelakkan kanser. Semoga kita dilindungi daripada sakit-sakit kronik yang mengurangkan kualiti hidup kita di masa akan datang.